Google

Ahad, 9 Disember 2007

Berpantang Maut Sebelum Ajal - Semangat Juang Seorang PARAWIN

Kfn Zaliza binti Zakaria adalah diantara penerjun yang terselamat di dalam trajedi yang meragut 3 nyawa anggota 10 Briged Para yang tersasar akibat tiupan angin kencang secara tiba-tiba semasa latihan penerjunan sempena Pertunjukan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2007 (LIMA LANGKAWI 2007). Beliau yang sedang bertugas di pasukan 10 Kompeni Woksyop Medan Para, Kem Terendak, Melaka menceritakan detik cemas yang dialaminya. Ketika kejadian, yang hanya bermain difikirannya hanyalah mati dan mulutnya tidak putus-putus mengucapkan dua kalimah syahadah. Kfn Zaliza menceritakan, walaupun beliau pada awalnya merasakan sesuatu yang akan berlaku pada dirinya pada hari penerjunan tersebut telah sedaya upaya menenangkan hati sendiri. Semangat kental yang tidak mengenal erti kekalahan dan disiplin yang yang dipupuk dalam dirinya membuatkan beliau bersemangat untuk terus melaksanakan latihan penerjunan pada hari tersebut. Beliau menyifatkan kejadian yang menimpanya sebagai suatu pengalaman yang amat berharga dan sukar dilupakan. Walaupun sedikit trauma di atas kejadian yang menimpa, namun semangat juang yang ada di dalam sanubarinya membuatkan beliau bersemangat untuk terus berkhidmat di dalam 10 Briged Para selagi khidmatnya diperlukan. Kfn Zaliza bagaimanapun berasa amat sedih di atas pemergian 3 orang rakan seperjuangannya dan menyifatkan segala yang berlaku sebagai ketentuan dari tuhan..... Marilah kita bertafakur sejenak dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada 2 orang anggota PARAWIN yang telah terkorban. Al-Fatihah....


Ahad, 2 Disember 2007

Tiga Tentera Payung Terjun Dalam Latihan LIMA Terbunuh

Keratan Akhbar Utusan Malaysia - LANGKAWI 2 Dis. - Tiga anggota tentera, termasuk dua wanita, yang menjalani latihan payung terjun untuk pertunjukan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2007) mati lemas, manakala 11 yang lain cedera apabila penerjunan mereka tersasar ke dalam laut berhampiran pantai Kuala Muda pagi tadi.Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohamed Ali Jamalludin berkata, anggota Pasukan 10 Briged Para dari Kem Terendak, Melaka yang terbunuh itu ialah Siti Hajar Yaakob, 24; dan Nurul Wahida Yusof, 20; serta Raymond Duncan, 25. Salah seorang daripada 11 anggota yang cedera, Suraya Ali, 23, dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi.“Anggota-anggota lain yang cedera dilaporkan berkeadaan baik. Mereka terdiri daripada enam anggota wanita dan empat anggota lelaki,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital selepas melawat mangsa. Mereka adalah sebahagian daripada 138 anggota pasukan itu yang dilaporkan sedang membuat penerjunan apabila angin kencang yang bertiup secara tiba-tiba menyebabkan mereka tersasar dari lokasi pendaratan yang ditetapkan.

Berikutan itu, ada yang terjatuh ke laut berhampiran Pantai Kuala Muda dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan ada yang tersasar di luar lapangan terbang itu hingga tersangkut di atas pokok. Berikutan kejadian itu, katanya, operasi menyelamat menggunakan beberapa buah helikopter dan pesawat digerakkan segera melibatkan empat pasukan terdiri dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Katanya, pasukan penyelamat yang tiba beberapa minit kemudian mendapati Siti Hajar meninggal dunia di tempat kejadian ketika diangkat keluar dari laut, manakala yang lain dikejarkan ke hospital.

Mayat ketiga-tiga anggota itu kini ditempatkan di bilik mayat Hospital Langkawi dan akan diserahkan kepada tentera selepas bedah siasat. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zulkiflee Abdul Latiff berkata, kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan antara 138 anggota Pasukan 10 Briged Para yang menjalani latihan sempena majlis perasmian LIMA 2007 pada 03 Dis 2007. Beliau berkata, semasa operasi penerjunan, keadaan angin yang tidak menentu menyebabkan ada di antara anggota penerjun tersasar dari lokasi pendaratan. - Bernama

Selasa, 13 November 2007

Panglima, Pegawai dan LLP 10 Briged Para Terima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka

AYER KEROH, MELAKA. Bertempat di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, suatu Majlis Penuh Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka telah diadakan pada 29 Okt 2007, bersempena dengan Sambutan Hari Jadi ke-69, Tuan Yang Terutama, Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob.

Bersempena dangan Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama, Yang DiPertua Negeri Melaka ke-69, seramai 656 orang telah telah dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka dan tidak ketinggalan juga kepada 2 Pegawai Kanan TD, 5 Pegawai TD dan seorang anggota LLP TD. Mendahului senarai penerima Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk ialah Brig. Jen Datuk Suhaimi bin Hj Mohd Zuki (Panglima 10 Bgd Para)
dan Brig. Jen. Datuk (Dr) Ya’akob bin Koming, manakala 5 Pegawai TD yang menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) ialah Lt Kol Lim Kiat Choy, Mej Abdul Basir bin Hj Amit,
Mej Azman bin Yassin, Mej Khairuddin bin Zakaria dan Kapt (KM) Rosila bin Mohamed Haroman manakala seorang anggota LLP TD yang turut menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) pada hari tersebut ialah PW II Sahat bin Ab Rashid.


Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) mula dikurniakan pada tahun 1978 kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan dan sumbangan bakti yang amat terpuji kepada Negeri Melaka. Darjah kebesaran ini mengandungi selempang dan lencana darjah. Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) mula dikurniakan pada tahun 1984 kepada orang perseorangan yang disanjung tinggi, mempunyai sifat dan sikap taat setia serta mempunyai tata kelakuan yang terpuji manakala Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) mula dikurniakan pada tahun 1978 kepada orang perseorangan yang telah memberi sumbangan bakti yang berkualiti serta berkhidmat dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab kepada Negeri Melaka. Tahniah....

Pemeriksaan Keselamatan dan Lesen Memandu Kenderaan

KEM TERENDAK. Pemeriksaan Keselamatan Kenderaan dan Lesen Memandu telah dilaksanakan di Padang Kawad Markas 10 Bgd Para oleh 10 Platun Kor Polis Tentera DiRaja Para (10 Pl KPTD Para) pada 24 Sept 07 yang lalu. Pemeriksaan-pemeriksaan seperti ini sering dilaksanakan oleh anggota-anggota 10 Platun KPTD Para dari semasa ke semasa.

Pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan kenderaan yang dipandu oleh setiap anggota berada di dalam keadaan baik, selamat dan dilindungi dengan insuran. Selain dari itu, pemeriksaan seperti ini juga dapat mengenalpasti dan mencegah setiap anggota yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal tanpa mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah. Sepanjang pemeriksaan ini dijalankan, tiada sebarang laporan kesalahan di laporkan.

Pertunjukan Kuasa Tembakan - Hari Pengajian Pegawai dan PTT Kanan

ASAHAN. Bersempena dengan penutup Hari Pengajian Pegawai dan PTT Kanan Siri 1/2007 pada 17 September 2007 yang lalu, suatu demonstrasi kuasa tembakan senjata bantuan Para telah diadakan di Lapang Sasar OP 3 Kem Asahan, Melaka.

Tujuan demontrasi kuasa tembakan ini diadakan antara lain untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada Pegawai-Pegawai Muda serta PTT Kanan 10 Briged Para mengenai perlaksanaan tembakan senjata bantuan Para sekaligus memberi peluang mengendalikan sendiri aset persenjataan Tentera Darat yang dimiliki oleh 10 Briged Para.

Pasukan Kompeni Bantuan Para dan Rejimen Pertama Artileri DiRaja Para (1 RAD Para) telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan persenjataan serta kawasan tapak tembak. Demotrasi kuasa tembakan pada kali ini melibatkan senjata bantuan tempur dari jenis RTB 106 mm, Meriam 105 mm, 12.7 mm MGB dan 12.7 mm MGB berkenderaan.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat 10 Bgd Para

KEM TERENDAK. Kempen Kesedaran Berterusan Keselamatan Jalan Raya Peringkat 10 Briged Para telah diadakan di Padang Kawad Markas 10 Briged Para pada 8 dan 9 Okt 2007 yang lalu. Kempen Keselamatan Jalan Raya yang berlangsung selama 2 hari ini turut melibatkan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti PDRM (IPD Melaka Tengah), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka serta Institut Memandu Detik Erat untuk mempamerkan serta memberi penerangan tentang aspek-aspek keselamatan di jalan raya. Ceramah Keselamatan Jalan Raya telah disampaikan oleh Pegawai Turus Trafik IPK Negeri Melaka.

Turut hadir pada hari tersebut ialah Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Suhaimi bin Hj Mohd Zuki, Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Kol Ismet Nayan bin Ismail, Ketua Staf Am MK 10 Bgd Para, Lt Kol Lim Kiat Choy. Tetamu jemputan yang hadir ialah YB Dato’ Hj Yunus bin Husin (Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Raya Negeri merangkap Pengerusi Keselamatan Jalan Raya Negeri Melaka), En. Norazli bin Sulaiman (Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya), ASP Roslan bin Abdullah (Pegawai Turus Trafik IPK Negeri Melaka) dan Tuan Ismail bin Mohd Zawawi (Pengarah JPJ Negeri Melaka). Turut hadir pada kempen tersebut ialah Pegawai Memerintah/Pemerintah Pasukan serta anggota LLP pasukan di bawah naungan 10 Bgd Para juga tidak ketinggalan, pelajar-pelajar dari Maktab Rendah Sain Mara (MRSM) Kem Terendak, Sekolah Kebangsaan Kem Terendak II serta kanak-kanak dari Tabika KEMAS Kem Terendak.

Tujuan Kempen Keselamatan Jalan Raya ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran terhadap pemandu-pemandu kenderaan dan penunggang-penunggang motosikal tentang keselamatan semasa memandu di jalan raya dan peraturan-peraturan keselamatan yang harus dan perlu dititik-beratkan sepanjang pemanduan.

Lain-lain acara-acara yang telah dilaksanakan di dalam kempen selama dua hari ini adalah ceramah keselamatan jalan raya dari agensi-agensi terbabit, pameran statik serta pengedaran risalah-risalah pemanduan jalan raya, panduan ciri-ciri keselamatan penunggang motosikal serta keperluan pemakaian jaket pantulan cahaya.

Isnin, 12 November 2007

Kempen Derma Darah Bersempena Sambutan HUT 10 Bgd Para

KEM TERENDAK. Kempen Derma Darah bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 10 Briged Para yang ke-13 telah diadakan di Dewan Makan 8 Rejimen Renjer DiRaja Para (8 RRD Para) pada 25 Okt 2007 yang lalu. Bersesuaian dengan cogankatanya “DERMA DARAH, MENYELAMATKAN NYAWA”, kempen derma darah pada kali ini telah berjaya menarik minat seramai 687 orang penderma dan sebanyak 687 pain darah berjaya dikumpulkan. Bagi menjayakan kempen ini, seramai 8 orang doktor dan 37 orang Pembantu Perubatan dari Pusat Darah Negara, Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Besar Melaka (HBM) telah membantu untuk menjayakan kempen ini. Kempen derma darah seperti ini BUKANLAH julung-julung kali diadakan dan ianya bertujuan untuk menambah simpanan darah di HKL dan HBM yang semakin kritikal. Kempen Derma Darah sempena Sambutan HUT 10 Bgd ke-13 telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Kol Ismet Nayan bin Ismail. Turut hadir ialah Ketua Staf Am Mk 10 Bgd Para, Lt Kol Lim Kiat Choy, Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah, Para Pegawai dan anggota LLP pasukan bawah naungan 10 Bgd Para. Semoga sumbangan murni ini akan diteruskan dilaksanakan di masa-masa akan datang.

Majlis Berbuka Puasa Dan Sambutan HUT 10 Briged Para

KEM TERENDAK. Majlis Berbuka Puasa dan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 10 Briged Para Yang Ke-13 telah diadakan di Padang Kawad 8 Rejimen Renjer DiRaja Para (8 RRD Para) pada 10 Oktober 2007 yang lalu. Majlis Berbuka Puasa dan Sambutan Hari Ulang Tahun 10 Briged Para pada kali ini diserikan lagi dengan kehadiran mantan Panglima 10 Bgd Para yang ke-7 iaitu Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Masood bin Zainal Abidin, mantan-mantan panglima 10 Bgd Para yang lain iaitu Jen (B) Tan Sri Md Hashim bin Hussin dan Mej Jen (B) Dato’ Amir bin Baharudin. Turut hadir ialah Mej Jen Dato’ Ahmad Hasbullah bin Mohd Nawawi (Panglima 3 Divisyen), Brig Jen Suhaimi bin Hj Mohd Zuki (Panglima 10 Bgd Para), Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Kol Ismet Nayan bin Ismail, Ketua Staf Am 10 Bgd Para, Lt Kol Lim Kiat Choy, Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah, para pegawai serta anggota LLP pasukan di bawah naungan 10 Bgd Para.

Ketibaan TPTD, telah disambut oleh mantan-mantan Panglima 10 Bgd Para, Panglima 3 Div, Panglima 10 Bgd Para, Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Ketua Staf Am 10 Bgd Para serta Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah pasukan. Sejurus kemudian, TPTD di bawa ke tengah padang kawad 8 RRD Para untuk sama-sama mengadakan bacaan yassin serta menunaikan Solat Maghrib berjemaah. Acara diteruskan dengan Solat Isyak Berjemaah, Solat Sunat Tarawikh dan Tahlil, ucapan dari TPTD dan upacara memotong pulut kuning sebagai tanda simbolik perajurit para. Selain dari itu, acara-acara lain yang turut dilaksanakan secara berperingkat adalah Khutbah Khas Solat Jumaat, Majlis Tahlil, Derma Darah, Majlis Makan Malam Rejimental dan Reunion Jump.

YBhg TPTD dalam ucapan dasarnya menegaskan agar setiap anggota Para mestilah sentiasa di dalam keadan siap siaga sebilang masa serta menjaga nama baik formasi 10 Bgd Para. Beliau juga mengingatkan agar setiap anggota menjaga keselamatan diri dan keluarga. YBhg TPTD juga menasihatkan agar Beret Merun yang dipakai hendaklah dijaga dengan penuh rasa bangga. Beliau juga berasa amat kagum serta bangga dengan semangat juang dan tahap kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh warga 10 Bgd Para, bersesuaian dengan cogan katanya, TIADA MISI TERLALU SUKAR, TIADA PENGORBANAN TERLALU BESAR, TUGAS DIUTAMAKAN.

Majlis Khatam Al-Quran BAKAT 10 Briged Para

KEM TERENDAK. Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, suatu Majlis Khatam Al-Quran BAKAT Peringkat 10 Bgd Para telah diadakan di rumah BAKAT 10 Bgd Para pada 4 Oktober 2007 yang lalu. Majlis-majlis agama seperti ini sering diadakan oleh BAKAT 10 Bgd Para setiap kali menjelang bulan Ramadhan. Turut hadir pada majlis khatam Al-Quran pada kali ini ialah Pengerusi BAKAT 10 Bgd Para, Puan Rohaya binti Baharuddin serta ahli-ahli dan ibu-ibu BAKAT 10 Bgd Para. Selain Majlis khatam Al-Quran, pelbagai acara turut dilaksanakan antaranya Majlis Tazkirah, Penyampaian Hadiah dan Cenderahati.

Rabu, 10 Oktober 2007

PTD FILIPINA DIANUGERAHKAN SAYAP KEHORMAT

10 Bgd Para telah menerima satu lawatan rasmi Panglima Tentera Darat Filipina Lieutenant General Romeo P. Tolentino baru-baru ini yang diiringi oleh Panglima Tentera Darat dan beberapa Pegawai Kanan TD di sambut oleh Panglima 10 Bgd Para dan para Pegawai 10 Bgd Para pada 5 Jul 2007 yang lalu.

Rombongan lawatan telah diberi kawalan kehormatan oleh anggota 10 Bgd Para dan kemudian diberi taklimat ringkas mengenai peranan dan tugas 10 Bgd Para. Dalam lawatan tersebut Panglima Tentera Darat Filipina telah dianugerahkan “SAYAP KEHORMAT” yang disematkan oleh Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Ismail Hj Jamaludin dan dipersembahkan dengan pertunjukan “PARA DANCE”.

Di samping itu Panglima Tentera Darat Filipina berkata, beliau berasa amat kagum dengan semangat juang dan tahap kesiapsiagaan yang ditunjukan oleh warga 10 Bgd Para.

Rabu, 26 September 2007

Perdana Menteri Sri Lanka Membuat Lawatan Rasmi Ke 10 Briged Para

Ratnassiri Wickramanayaka selaku Perdana Menteri Sri Lanka dari parti Demokratik dan Sosialis, telah membuat lawatan rasmi ke 10 Bgd Para pada 13 Jul 2007. Lawatan berkenaan merupakan salah satu jadual siri lawatan beliau selama 4 hari ke Malaysia sebelum meneruskan lawatan ke sekitar Bandar Melaka. Sepanjang lawatan singkat beliau yang disambut oleh Panglima 10 Bgd Para sendiri, telah membawa beliau untuk melihat perkampungan ikthiar hidup yang terletak di 8 RRD Para dan sesi latihan yang dilaksanakan di Bgd Para dengan diiringi oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima 3 Divisyen dan para Pegawai Kanan serta Pegawai Staf 10 Bgd Para. Siri lawatan beliau ke 10 Bgd Para turut diiringi oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negari selaku Menteri Pengiring serta Menteri-Menteri Kabinet dan Exco negeri Melaka.

Senamrobik ‘SEMERAH SEHITAM TINDAK PANTAS’




KEM TERENDAK. Pada 14 Jul 2007, 10 Bgd Para dengan dituruti oleh 3 Divisyen dan unit-unit didalam Kem Terendak telah berkumpul dipadang Pavillion, Kem Terndak bagi melaksanakan acara senamrobik ‘Semerah Sehitam Tindak Pantas’ yang berjaya menyatukan seramai lebih kurang 4000 anggota yang bertugas di Kem Terendak. Senamrobik berkenaan telah dihadiri oleh Panglima 3 Divisyen dan Panglima 10 Bgd Para serta Pegawai-Pegawai Kanan TDM yang bertugas di Kem Terendak. Dalam ucapan Panglima 3 Divisyen, beliau menyarankan agar ‘semua warga Kem Terendak tidak kira dimana formasi naunganya hendaklah bersatu dan berkerjasama dalam apa jua aktiviti dan beliau merancang untuk melaksanakan majlis ambang merdeka bagi menyambut 31 Ogos yang akan datang’.

Para Challenge 2007 Uji Ketahanan

Terjun dari pesawat menggunakan payung terjun, jalan laju 22 kilometer (km), mendaki Gunung Ledang, pandu arah sejauh 33 km, berjalan lasak 65 km, mendayung perahu tempur, berlari sejauh tujuh kilometer dan kemudian menembak. Bayangkan jika andalah yang akan melakukannya dan menghabiskan kesemua rintangan itu satu persatu tanpa merungut kerana semuanya demi negara tercinta? Adakah anda akan menjadi terlalu berkira..... di atas setiap keringat yang mengalir tanpa memikirkan apa yang telah pejuang negara sebelumnya yang berkorban demi mengecapi nilai kemerdekaan negara yang kita kecapi kini?

Para Challenge 2007 yang berlangsung baru-baru ini memberi gambaran jelas kemampuan dan daya ketahanan mental serta fizikal anggota tentera selain keyakinan diri, kerjasama berkumpulan dan memupuk semangat setiakawan di kalangan anggota 10 Briged Para. Perjuangan hampir seminggu di darat, udara dan laut itu seolah-olah satu latihan yang akan memenuhi kriteria seorang anggota tentera sempurna seandainya sesuatu musibah berlaku di tanah air sendiri.

Jelas sekali....... ketahanan, setiap titis keringat dan darah yang mengalir dalam tubuh peserta Para Challenge 2007 adalah demi mengekalkan keharmonian negara. Ini membuktikan kesediaan pengorbanan dan kasih jitu jika ada musuh durjana cuba menggugat keamanan negara selama 50 tahun kemerdekaan dikecapi. Kejayaan mereka menghabiskan setiap rintangan dengan sempurna menjamin tiada lagi alasan yang boleh diberi seandainya ada musuh mahu meragut keamanan negara.Setiap anggota seolah-olah tidak menghiraukan siang, malam, hujan, panas dan duri-duri tajam yang terpaksa ditempuhi.

Tujuan mereka hanya satu, menghabiskan setiap cabaran dan kejayaan hasil semangat setiakawan ahli pasukan. Matlamat mereka juga jitu, melepasi garis penamat tanpa banyak soal walaupun seragam sudah berbau hanyir peluh dan pecah tumit kerana jauh berjalan.

Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Suhaimi Mohd Zuki berkata, tujuan Para Challenge itu untuk membuktikan kemampuan tentera dalam setiap aspek samada di darat, laut maupun udara. Ini sekali gus memberi impak kekuatan semangat dan daya juang tinggi di kalangan peserta yang bertanding. ‘‘Mereka tetap tabah menempuh cabaran cuaca dan halangan yang begitu berat serta berjaya membuktikan kemampuan untuk mengharungi segala rintangan.‘‘Ini adalah bukti jelas bahawa setiap peserta mampu membawa cabaran yang diberi dan menunjukkan semangat kerjasama padu antara setiap ahli kumpulan.

Tambahnya, apa yang dilakukan adalah tanda bahawa setiap anggota tentera sudah bersedia dari fasa pertama hingga fasa terakhir yang memerlukan komitmen setiap ahli kumpulan. ‘‘Fizikal dan mental mereka benar-benar diuji dengan halangan yang tidak akan berjaya ditempuhi seandainya tiada semangat juang yang tinggi.‘‘Mereka sudah lama bersedia, ini bukti mereka sedia berkhidmat demi negara pada bila-bila masa sahaja,’’ ujarnya.

Para Challenge merupakan salah satu daripada tradisi 10 Briged Para yang dipertandingkan setiap dua tahun untuk menguji ahli pasukan terhadap kekuatan fizikal dan mental.Ia sekali gus mengeratkan silaturrahim di setiap peringkat anggota terutama dalam situasi kepayahan dan keletihan. Tahap kerjasama setiap anggota dalam kumpulan tersebut itu juga diuji dari segi perintah dan pengawalannya kepada ketua.

Terdapat 14 kumpulan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil mengambil bahagian pada pertandingan tahun ini. Kumpulan-kumpulan itu ialah Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu DiRaja Para (9 RAMD Para), Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu DiRaja Para (17 RAMD Para),Batalion Ke 8 Rejimen Renjer DiRaja (RRD) Para (8 RRD Para) dan Rejimen 1 Artileri DiRaja (1 RAD) Para. Kumpulan pasukan kecil pula ialah Kompeni Bantuan Para, Skuadron Armor Para, 10 Skuadron Rejimen Semboyan DiRaja Para, 10 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) Para, 361 Bateri Artileri DiRaja Para, Gabungan Kem 10 Briged Para, 10 Platun Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD) Para dan Platun Pandu Udara, gabungan 10 Kompeni Kor Perkhidmatan DiRaja (KPD) Para, 10 Kompeni Worksyop Medan Para dan 10 Kor Ordnans DiRaja (10 KOD) Para.Sementara pasukan jemputan pula diwakili Tim 21 Grup Gerak Khas (GGK), Tim Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Tim Markas Medan Tentera Darat (MK Medan TD).Pertandingan ini melibatkan semua pasukan di bawah naungan 10 Briged Para serta pasukan jemputan dengan setiap pasukan diwakili seramai 20 anggota.

Tambah Brig Jen Suhaimi, pertandingan sebegini dapat memupuk semangat juang dan berlawan yang selama ini dipelajari mereka.‘‘Kerana itu, apabila kita menjemput pasukan lain dan melihat sendiri kemampuan yang menjadi ‘bekal’ negara apabila terdapat ancaman luar. ‘‘Setiap pasukan menunjukkan fokus dan daya saing untuk menang tetapi tidak melupakan semangat kerjasama yang perlu dipegang untuk mencapai piala kejayaan,’’ jelasnya.

Cogan kata ‘hari-hari kita belajar dan hari-hari kita berlatih’ yang diserap pada warga 1- Briged Para akhirnya telah berjaya dizahirkan dalam pertandingan itu dan negara kini boleh tersenyum kerana pejuangnya sentiasa bersedia dan sanggup berkorban apa sahaja demi keamanan tanah air tercinta.

Sabtu, 22 September 2007

Eksesais Gerak Pantas


SUASANA tenang di ladang tebu Chuping yang terletak kira-kira lima kilometer dari pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar pada pagi hari tersebut terganggu seketika. Ruang angkasanya yang cerah bertukar mendung apabila tiga pesawat tidak dikenali 'memuntahkan' beratus-ratus anak kapal yang kemudiannya memenuhi hampir segenap ruang ladang tebu terbabit. Semuanya lengkap bersenjata dan tanpa sebarang tentangan, ratusan anak kapal itu tadi mudah menawan ladang tebu yang berkeluasan kira-kira 10,000 hektar. Namun, ini bukanlah cerita makhluk asing mahu pun lakonan filem perang yang anda saksikan di pawagam mahupun kaca televisyen. Apa yang berlaku cuma ujian dan latihan terjunan 560 anggota penerjun dari 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

Kesemua mereka yang menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memulakan penerjunan tepat pukul sembilan pagi, sejam selepas berlepas dari Pangkalan Udara Subang. Peritnya, ujian tersebut sebenarnya telah bermula sejak pukul 4.30 pagi lagi apabila mereka diarah melakukan persiapan lengkap. Bagaimanapun, sepanjang perjalanan, anggota penerjun itu turut diuji daya ketahanan apabila pesawat yang dinaiki melakukan pelbagai 'aksi'.

Kalau tidak tahan, tentu ada yang akan muntah atau pening kepala, tetapi anggota- anggota 10 Briged Para adalah mereka yang telah terlatih dan 'fit'. Apa yang membanggakan, latihan itu turut menyaksikan ketangkasan tujuh anggota penerjun wanita yang tidak mahu ketinggalan menonjolkan daya saing kepada penerjun lelaki.

Sebaik sahaja kesemua mendarat, setiap anggota penerjun kemudian terpaksa meredah ‘lautan' ladang tebu sebelum berkumpul di lokasi yang ditetapkan. Misi seterusnya ialah kesemua anggota penerjun itu diarah berjalan kaki sejauh berpuluh-puluh kilometer sambil memikul bebanan antara 80 hingga 90 kilogram seorang dan lengkap bersenjata untuk menawan sasaran yang dikenal pasti iaitu kawasan Sintok, Kedah.

Ini adalah sebahagian daripada senario latihan yang dinamakan Eksesais Kanopi Kenyalang siri 31/07 yang menjadi acara tahunan pasukan itu yang lebih dikenali sebagai `maroon machine'.

Keesokannya, selepas berjaya ‘menakluki’ ladang tebu Chuping menerusi 560 orang penerjun, pasukan 10 Briged Para memperluaskan lagi wilayah ‘penguasaan’ mereka di Sintok. Kali ini, dengan hanya kekuatan seramai 240 anggota, pasukan tersebut dilihat ‘menawan’ kawasan tersebut menerusi operasi pendaratan secara taktikal dari udara (Tactical Air Landing Operation - TALO). Operasi melalui helikopter itu dilakukan secara pantas, sesuai dengan gelaran diberikan kepada pasukan berkenaan iaitu ‘Briged Taufan’ kerana kepantasan dan ketangkasan warganya ketika bertindak.

TALO dan Eksesais Kanopi Kenyalang merupakan gabungan dua sesi latihan dinamakan Eksesais Gerak Pantas yang harus ditempuhi setiap anggota briged terbabit. Sesi latihan tersebut berlangsung sekitar kawasan Alor Setar, Chuping dan Sintok.

Eksesais Gerak Pantas diadakan bagi menguji kesediaan setiap anggota dalam melaksanakan sesuatu operasi terutama ketika kecemasan. Ia juga bertujuan memastikan kemahiran dan ketangkasan anggota-anggota 10 Briged Para sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Selasa, 18 September 2007

Cabaran - Pranita Para (PARAWIN)

BAGI seorang wanita, berada dalam kumpulan elit Tentera Darat (TD) merupakan satu kesempatan amat berharga bukan sahaja kepada diri sendiri, malah keluarga. Ini kerana bukannya sesuatu yang mudah untuk menempatkan diri dalam pasukan 10 Briged Para yang merupakan barisan hadapan TD. “Memang pada mulanya ketika berlatih dalam pasukan 10 Briged Para ini, ia sungguh menakutkan. “Mana tak takut, kita kena terjun dari udara beribu kaki, macam-macam boleh berlaku. “Tapi, selagi kita patuh pada arahan dan tetapkan disiplin diri dari apa yang telah dipelajari, insya-Allah semuanya akan selamat,’’ kata Koperal Norlalaiti Haron, 29, yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Bagi beliau, walaupun memakai tudung kepala, setiap latihan sama ada ketika di darat mahupun udara, ia tidak sekali-kali menghalangnya.

Menurut Norlalaiti, minatnya menyertai tentera atas dorongan keluarga terutama bapanya, Allahyarham Haron Abdul Wahab, yang juga seorang anggota tentera. “Pada mulanya memang ada ahli keluarga yang tidak berapa setuju saya menyertai pasukan tentera, tetapi akhirnya saya dapat buktikan bahawa saya juga mampu bersaing dengan anggota-anggota lain,’’ katanya.

Norlalaiti berkata, beliau memilih pasukan 10 Briged Para kerana mahukan sedikit kelainan berbanding unit-unit lain dalam TD. “Saya mahukan cabaran bagi membuktikan wanita juga mampu bersaing dengan anggota lelaki,’’ katannya.

Rakan setugas Norlalaiti, Parawin Hamidah Ab. Karim, 25, pula menganggap penyertaan dalam pasukan itu merupakan satu penghormatan yang tinggi. “Saya sertai pasukan ini pada penghujung tahun 2003. “Ketika pertama kali buat penerjunan pada tahun 2004, memang ia amat menakutkan. Tapi saya cekalkan hati. “Begitu juga hingga kini, setiap kali penerjunan perasaan takut itu memang ada. Apa yang penting ialah kita perlu lakukan mengikut arahan dan disiplin yang telah diajar. “Sedikit sahaja kesilapan, pasti boleh membawa pada pada diri,’’ katanya yang berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Menurut Hamidah, walaupun sudah beberapa kali membuat penerjunan dari udara, tetap seseorang anggota itu tidak boleh mendabik dada. “Saya akan anggap setiap kali penerjunan, ia merupakan yang pertama kali buat dirinya walaupun sebelum itu sudah beberapa kali berjaya melakukannya.“Apa yang penting ialah kita perlu belajar dan terus belajar memahirkan diri,’’ katanya.

Ahad, 16 September 2007

Briged Taufan Takluki Sintok

Selepas berjaya ‘menakluki’ ladang tebu Chuping, Padang Besar menerusi 560 orang penerjun, pasukan 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka, memperluaskan lagi wilayah ‘penguasaan’ mereka sehingga ke Sintok, Kedah. Kali ini, dengan hanya kekuatan seramai 240 anggota, pasukan yang cukup dikenali sebagai ‘beret merun’ dilihat dengan mudah ‘menawan’ kawasan tersebut melalui operasi pendaratan secara taktikal dari udara (Tactical Air Landing Operation - TALO). Segalanya dilakukan secara pantas, sesuai dengan gelaran diberikan kepada pasukan ini iaitu ‘Briged Taufan’ kerana kepantasan dan ketangkasan warganya ketika bertindak. Bagaimanapun, semua situasi tersebut hanyalah sebahagian daripada sesi latihan Eksesais Gerak Pantas yang harus ditempuhi setiap anggota briged ini. Sesi latihan yang bermula sejak 31 Mac 2007 itu berlangsung sekitar kawasan Alor Setar, Chuping dan Sintok.

Sebanyak 560 orang penerjun dari pasukan ini berjaya melakukan aksi terjunan di ladang tebu Chuping yang berkeluasan lebih 10,000 hektar. Sebaik sahaja selamat melakukan pendaratan, mereka meneruskan cabaran apabila menjalani latihan taktikal di darat dan dikerahkan berjalan kaki dari ladang tebu tersebut hingga ke Kompleks Sintok sejauh 45 kilometer. Apa yang membanggakan, latihan dinamakan Eksesais Kanopi Kenyalang siri 31/07 tersebut turut menyaksikan ketangkasan tujuh anggota wanita para (PARAWIN) yang sama-sama melakukan terjunan pada ketinggian 800 hingga 1,100 kaki. Eksesais Gerak Pantas diadakan bagi menguji kesediaan setiap anggota dalam melaksanakan sesuatu operasi terutama ketika kecemasan. Ia juga bertujuan memastikan kemahiran dan kesiapsiagaan anggota-anggota 10 Briged Para sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

10 Briged Para - Pasukan Elit ATM

Mengenali pasukan 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka merupakan satu peluang keemasan, kerana banyak perkara yang tidak disedari, sebenarnya dimiliki oleh pasukan ini.

Memang diakui 10 Briged Para mempunyai kemahiran yang pelbagai sebagai sebuah pasukan elit Tentera Darat. Disebabkan itu juga, 10 Briged Para diakui mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu digerakkan dalam masa singkat untuk ke mana-mana kawasan operasi sejajar dengan cogankata briged ini - ‘Tindak Pantas’. Kepantasan 10 Briged Para secara langsung memberi satu kelebihan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misinya bagi memastikan keamanan negara terus dikekalkan.

Kebolehan. Secara umum, 10 Briged Para adalah pasukan payung terjun yang setanding dengan lain-lain pasukan payung terjun di luar negara. Setelah mengenali lebih dekat 10 Briged Para, sememangnya ia adalah sebuah pasukan elit yang mantap tetapi pada masa yang sama sentiasa merendah diri dan tidak gemar mendabik dada atas kebolehan yang dimiliki. Hubungan erat dan kekeluargaan di briged ini dapat dilihat melalui pergaulan termasuklah cara bersalaman. Setiap anggota pasukan akan menggenggam erat tangan sambil memegang ibu jari. Cara bersalaman anggota 10 Briged Para ini sudah menjadi budaya setiap pegawai dan anggota. Ia menunjukkan betapa eratnya hubungan antara kami. Disebabkan itu, logo genggaman penumbuk yang terdapat di 10 Briged Para melambangkan gabungan lima jari. Ia melibatkan kesatuan kepimpinan dan disiplin sama ada peringkat atasan hinggalah bawahan. Semangat setia kawan (esprit de corp) menjadi teras penghidupan kami.’’ kata Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Suhaimi Mohd Zuki. Malah, 10 Briged Para juga bolehlah diumpamakan sebagai pasukan yang mengutamakan silaturahim antara setiap anggota dan pegawai-pegawainya. Menurutnya, selain cara bersalaman dan genggaman yang ditunjukkan, satu lagi budaya atau tradisi diamalkan 10 Briged Para ialah mereka diwajibkan berlari dalam pergerakan dari satu bangunan ke satu bangunan lain. “Ia sebenarnya memperlihatkan setiap anggota dan pegawai sentiasa diletakkan dalam keadaan bersedia walaupun ketika keadaan aman. “Kami bersedia untuk digerakkan bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan sekali pun apabila diarah oleh pucuk pimpinan ATM.

“Pada tahun lepas kita berjaya digerakkan ke Timor Leste dalam masa yang diperlukan, selaras dengan ikrar kami ‘Tiada Misi Terlalu Sukar, Tiada Pengorbanan Terlalu Besar, Tugas Diutamakan”. “Saya juga berasa amat bangga kerana mempunyai pegawai dan anggota-anggota yang mempunyai semangat jitu dan telah memberikan komitmen tidak berbelah bagi,” tegas beliau. Menurut Brig Jen Suhaimi, pasukan itu juga mengamalkan budaya latihan berterusan di mana setiap anggota bermula dari peringkat bawahan hingga kepada beliau sendiri, sama ada mereka menjalankan tugas kerani, pemandu atau sebagainya, mereka perlu berlatih sepanjang masa dan berlatih terjun menggunakan payung terjun. Latihan payung terjun itu akan diadakan sepanjang masa, malah boleh dikatakan setiap bulan. “Saya sendiri pun kena terjun... Doktor, ustaz malah jurulatih juga dan semua anggota dalam 10 Briged Para. “Tidak ada yang istimewa kerana kita semua akan menggunakan payung yang sama, keluar melalui pesawat yang sama. Dengan latihan yang berterusan maka ketangkasan kita akan terus mantap,’’ katanya. “Beret Merun dan sayap di dada adalah pendorong utama bagi pegawai dan anggota-anggota briged ini. “Beret merun tidak diberi secara percuma tetapi ia perlu diperoleh,” tegas beliau.

Ketegasan Brig Jen Suhaimi dapat dilihat semasa bersama-sama menjalani latihan ‘Para Ground Training' bersama-sama anggota beliau. Beliau sendiri telah memberi teguran dan tunjuk ajar kepada anggota-anggota bagi mengelakkan kecederaan semasa penerjunan. Brig Jen Suhaimi adalah anak kelahiran Jerantut, Pahang, mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur dan merupakan bekas penuntut putera Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dari Universiti Leicester, England dan Universiti New South Wales, Australia. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa negara luar termasuk sebagai pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sahara Barat. Semasa bertugas di Sahara Barat, pergaulan Brig Jen Suhaimi dengan masyarakat setempat secara langsung membolehkan beliau belajar dan serba sedikit dapat bertutur bahasa Arab. Kebolehan beliau itu juga membolehkan Brig Jen Suhaimi menyelesaikan pertelagahan yang berlaku membabitkan puak-puak yang bersengketa. Ditanya dari segi penerjunan, beliau berkata: “Kita tidak boleh berbangga dengan jumlah penerjunan dilakukan. “Setiap anggota dan pegawai akan menganggap setiap kali penerjunan dilakukan, ia adalah yang pertama kali. “Sebab itu, setiap penerjunan perlu dilakukan secara berhati-hati dan penuh berdisiplin. Jika silap langkah, akan menerima padah. Lalai sesaat merana seumur hidup,” nasihat beliau. Antara pengalaman bertugas selain di Briged Para, beliau pernah bertugas sebagai pegawai staf di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH); Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT); Pembantu Ketenteraan kepada Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Mohd Shafie Apdal dan Datuk Zainal Abidin Zin.

Satu lagi penghormatan yang ditugaskan kepada beliau sebelum menjadi Panglima 10 Briged Para ialah sebagai Penasihat Ketenteraan kepada Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Jelas Brig Jen Suhaimi, dari aspek memperkasakan tahap profesional anggota-anggota Para, aktiviti yang diamalkan oleh 10 Briged Para ialah “Hari-Hari Belajar dan Hari-Hari Berlatih”. Setiap anggota dan pegawainya turut digalakkan supaya sentiasa membaca. “Melalui proses pembelajaran, hari ini seseorang itu menjadi pembaca, esok dia akan menjadi pemimpin,” ujar beliau.

Beliau juga berasa bangga dengan pembabitan para isteri anggota dan pegawai kerana telah memainkan peranan aktif serta memberi sokongan dan dorongan kepada aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan. Ini adalah salah satu aspek yang telah memantapkan ketumbukan ini. Berikutan budaya, tradisi serta ilmu yang diterapkan di 10 Briged Para, tidak hairanlah beberapa pemimpin berjaya dilahirkan oleh Briged ini. Antara mereka ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Ismail Jamaluddin dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Masood Zainal Abidin dan Panglima 1 Divisyen, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Effendi Mustaffa.