Google

Rabu, 26 September 2007

Para Challenge 2007 Uji Ketahanan

Terjun dari pesawat menggunakan payung terjun, jalan laju 22 kilometer (km), mendaki Gunung Ledang, pandu arah sejauh 33 km, berjalan lasak 65 km, mendayung perahu tempur, berlari sejauh tujuh kilometer dan kemudian menembak. Bayangkan jika andalah yang akan melakukannya dan menghabiskan kesemua rintangan itu satu persatu tanpa merungut kerana semuanya demi negara tercinta? Adakah anda akan menjadi terlalu berkira..... di atas setiap keringat yang mengalir tanpa memikirkan apa yang telah pejuang negara sebelumnya yang berkorban demi mengecapi nilai kemerdekaan negara yang kita kecapi kini?

Para Challenge 2007 yang berlangsung baru-baru ini memberi gambaran jelas kemampuan dan daya ketahanan mental serta fizikal anggota tentera selain keyakinan diri, kerjasama berkumpulan dan memupuk semangat setiakawan di kalangan anggota 10 Briged Para. Perjuangan hampir seminggu di darat, udara dan laut itu seolah-olah satu latihan yang akan memenuhi kriteria seorang anggota tentera sempurna seandainya sesuatu musibah berlaku di tanah air sendiri.

Jelas sekali....... ketahanan, setiap titis keringat dan darah yang mengalir dalam tubuh peserta Para Challenge 2007 adalah demi mengekalkan keharmonian negara. Ini membuktikan kesediaan pengorbanan dan kasih jitu jika ada musuh durjana cuba menggugat keamanan negara selama 50 tahun kemerdekaan dikecapi. Kejayaan mereka menghabiskan setiap rintangan dengan sempurna menjamin tiada lagi alasan yang boleh diberi seandainya ada musuh mahu meragut keamanan negara.Setiap anggota seolah-olah tidak menghiraukan siang, malam, hujan, panas dan duri-duri tajam yang terpaksa ditempuhi.

Tujuan mereka hanya satu, menghabiskan setiap cabaran dan kejayaan hasil semangat setiakawan ahli pasukan. Matlamat mereka juga jitu, melepasi garis penamat tanpa banyak soal walaupun seragam sudah berbau hanyir peluh dan pecah tumit kerana jauh berjalan.

Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Suhaimi Mohd Zuki berkata, tujuan Para Challenge itu untuk membuktikan kemampuan tentera dalam setiap aspek samada di darat, laut maupun udara. Ini sekali gus memberi impak kekuatan semangat dan daya juang tinggi di kalangan peserta yang bertanding. ‘‘Mereka tetap tabah menempuh cabaran cuaca dan halangan yang begitu berat serta berjaya membuktikan kemampuan untuk mengharungi segala rintangan.‘‘Ini adalah bukti jelas bahawa setiap peserta mampu membawa cabaran yang diberi dan menunjukkan semangat kerjasama padu antara setiap ahli kumpulan.

Tambahnya, apa yang dilakukan adalah tanda bahawa setiap anggota tentera sudah bersedia dari fasa pertama hingga fasa terakhir yang memerlukan komitmen setiap ahli kumpulan. ‘‘Fizikal dan mental mereka benar-benar diuji dengan halangan yang tidak akan berjaya ditempuhi seandainya tiada semangat juang yang tinggi.‘‘Mereka sudah lama bersedia, ini bukti mereka sedia berkhidmat demi negara pada bila-bila masa sahaja,’’ ujarnya.

Para Challenge merupakan salah satu daripada tradisi 10 Briged Para yang dipertandingkan setiap dua tahun untuk menguji ahli pasukan terhadap kekuatan fizikal dan mental.Ia sekali gus mengeratkan silaturrahim di setiap peringkat anggota terutama dalam situasi kepayahan dan keletihan. Tahap kerjasama setiap anggota dalam kumpulan tersebut itu juga diuji dari segi perintah dan pengawalannya kepada ketua.

Terdapat 14 kumpulan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil mengambil bahagian pada pertandingan tahun ini. Kumpulan-kumpulan itu ialah Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu DiRaja Para (9 RAMD Para), Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu DiRaja Para (17 RAMD Para),Batalion Ke 8 Rejimen Renjer DiRaja (RRD) Para (8 RRD Para) dan Rejimen 1 Artileri DiRaja (1 RAD) Para. Kumpulan pasukan kecil pula ialah Kompeni Bantuan Para, Skuadron Armor Para, 10 Skuadron Rejimen Semboyan DiRaja Para, 10 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) Para, 361 Bateri Artileri DiRaja Para, Gabungan Kem 10 Briged Para, 10 Platun Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD) Para dan Platun Pandu Udara, gabungan 10 Kompeni Kor Perkhidmatan DiRaja (KPD) Para, 10 Kompeni Worksyop Medan Para dan 10 Kor Ordnans DiRaja (10 KOD) Para.Sementara pasukan jemputan pula diwakili Tim 21 Grup Gerak Khas (GGK), Tim Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Tim Markas Medan Tentera Darat (MK Medan TD).Pertandingan ini melibatkan semua pasukan di bawah naungan 10 Briged Para serta pasukan jemputan dengan setiap pasukan diwakili seramai 20 anggota.

Tambah Brig Jen Suhaimi, pertandingan sebegini dapat memupuk semangat juang dan berlawan yang selama ini dipelajari mereka.‘‘Kerana itu, apabila kita menjemput pasukan lain dan melihat sendiri kemampuan yang menjadi ‘bekal’ negara apabila terdapat ancaman luar. ‘‘Setiap pasukan menunjukkan fokus dan daya saing untuk menang tetapi tidak melupakan semangat kerjasama yang perlu dipegang untuk mencapai piala kejayaan,’’ jelasnya.

Cogan kata ‘hari-hari kita belajar dan hari-hari kita berlatih’ yang diserap pada warga 1- Briged Para akhirnya telah berjaya dizahirkan dalam pertandingan itu dan negara kini boleh tersenyum kerana pejuangnya sentiasa bersedia dan sanggup berkorban apa sahaja demi keamanan tanah air tercinta.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum dan salam sejahtera, tahniah diatas pertandingan para challenge tersebut . saya harap pertrandingan seperti ini dapat dibuka kepada orang awam yang ingin mencuba dan merasa kepayahan para challenge tersebut terima kasih