Google

Selasa, 18 September 2007

Cabaran - Pranita Para (PARAWIN)

BAGI seorang wanita, berada dalam kumpulan elit Tentera Darat (TD) merupakan satu kesempatan amat berharga bukan sahaja kepada diri sendiri, malah keluarga. Ini kerana bukannya sesuatu yang mudah untuk menempatkan diri dalam pasukan 10 Briged Para yang merupakan barisan hadapan TD. “Memang pada mulanya ketika berlatih dalam pasukan 10 Briged Para ini, ia sungguh menakutkan. “Mana tak takut, kita kena terjun dari udara beribu kaki, macam-macam boleh berlaku. “Tapi, selagi kita patuh pada arahan dan tetapkan disiplin diri dari apa yang telah dipelajari, insya-Allah semuanya akan selamat,’’ kata Koperal Norlalaiti Haron, 29, yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Bagi beliau, walaupun memakai tudung kepala, setiap latihan sama ada ketika di darat mahupun udara, ia tidak sekali-kali menghalangnya.

Menurut Norlalaiti, minatnya menyertai tentera atas dorongan keluarga terutama bapanya, Allahyarham Haron Abdul Wahab, yang juga seorang anggota tentera. “Pada mulanya memang ada ahli keluarga yang tidak berapa setuju saya menyertai pasukan tentera, tetapi akhirnya saya dapat buktikan bahawa saya juga mampu bersaing dengan anggota-anggota lain,’’ katanya.

Norlalaiti berkata, beliau memilih pasukan 10 Briged Para kerana mahukan sedikit kelainan berbanding unit-unit lain dalam TD. “Saya mahukan cabaran bagi membuktikan wanita juga mampu bersaing dengan anggota lelaki,’’ katannya.

Rakan setugas Norlalaiti, Parawin Hamidah Ab. Karim, 25, pula menganggap penyertaan dalam pasukan itu merupakan satu penghormatan yang tinggi. “Saya sertai pasukan ini pada penghujung tahun 2003. “Ketika pertama kali buat penerjunan pada tahun 2004, memang ia amat menakutkan. Tapi saya cekalkan hati. “Begitu juga hingga kini, setiap kali penerjunan perasaan takut itu memang ada. Apa yang penting ialah kita perlu lakukan mengikut arahan dan disiplin yang telah diajar. “Sedikit sahaja kesilapan, pasti boleh membawa pada pada diri,’’ katanya yang berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Menurut Hamidah, walaupun sudah beberapa kali membuat penerjunan dari udara, tetap seseorang anggota itu tidak boleh mendabik dada. “Saya akan anggap setiap kali penerjunan, ia merupakan yang pertama kali buat dirinya walaupun sebelum itu sudah beberapa kali berjaya melakukannya.“Apa yang penting ialah kita perlu belajar dan terus belajar memahirkan diri,’’ katanya.

Tiada ulasan: