Google

Sabtu, 22 September 2007

Eksesais Gerak Pantas


SUASANA tenang di ladang tebu Chuping yang terletak kira-kira lima kilometer dari pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar pada pagi hari tersebut terganggu seketika. Ruang angkasanya yang cerah bertukar mendung apabila tiga pesawat tidak dikenali 'memuntahkan' beratus-ratus anak kapal yang kemudiannya memenuhi hampir segenap ruang ladang tebu terbabit. Semuanya lengkap bersenjata dan tanpa sebarang tentangan, ratusan anak kapal itu tadi mudah menawan ladang tebu yang berkeluasan kira-kira 10,000 hektar. Namun, ini bukanlah cerita makhluk asing mahu pun lakonan filem perang yang anda saksikan di pawagam mahupun kaca televisyen. Apa yang berlaku cuma ujian dan latihan terjunan 560 anggota penerjun dari 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

Kesemua mereka yang menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memulakan penerjunan tepat pukul sembilan pagi, sejam selepas berlepas dari Pangkalan Udara Subang. Peritnya, ujian tersebut sebenarnya telah bermula sejak pukul 4.30 pagi lagi apabila mereka diarah melakukan persiapan lengkap. Bagaimanapun, sepanjang perjalanan, anggota penerjun itu turut diuji daya ketahanan apabila pesawat yang dinaiki melakukan pelbagai 'aksi'.

Kalau tidak tahan, tentu ada yang akan muntah atau pening kepala, tetapi anggota- anggota 10 Briged Para adalah mereka yang telah terlatih dan 'fit'. Apa yang membanggakan, latihan itu turut menyaksikan ketangkasan tujuh anggota penerjun wanita yang tidak mahu ketinggalan menonjolkan daya saing kepada penerjun lelaki.

Sebaik sahaja kesemua mendarat, setiap anggota penerjun kemudian terpaksa meredah ‘lautan' ladang tebu sebelum berkumpul di lokasi yang ditetapkan. Misi seterusnya ialah kesemua anggota penerjun itu diarah berjalan kaki sejauh berpuluh-puluh kilometer sambil memikul bebanan antara 80 hingga 90 kilogram seorang dan lengkap bersenjata untuk menawan sasaran yang dikenal pasti iaitu kawasan Sintok, Kedah.

Ini adalah sebahagian daripada senario latihan yang dinamakan Eksesais Kanopi Kenyalang siri 31/07 yang menjadi acara tahunan pasukan itu yang lebih dikenali sebagai `maroon machine'.

Keesokannya, selepas berjaya ‘menakluki’ ladang tebu Chuping menerusi 560 orang penerjun, pasukan 10 Briged Para memperluaskan lagi wilayah ‘penguasaan’ mereka di Sintok. Kali ini, dengan hanya kekuatan seramai 240 anggota, pasukan tersebut dilihat ‘menawan’ kawasan tersebut menerusi operasi pendaratan secara taktikal dari udara (Tactical Air Landing Operation - TALO). Operasi melalui helikopter itu dilakukan secara pantas, sesuai dengan gelaran diberikan kepada pasukan berkenaan iaitu ‘Briged Taufan’ kerana kepantasan dan ketangkasan warganya ketika bertindak.

TALO dan Eksesais Kanopi Kenyalang merupakan gabungan dua sesi latihan dinamakan Eksesais Gerak Pantas yang harus ditempuhi setiap anggota briged terbabit. Sesi latihan tersebut berlangsung sekitar kawasan Alor Setar, Chuping dan Sintok.

Eksesais Gerak Pantas diadakan bagi menguji kesediaan setiap anggota dalam melaksanakan sesuatu operasi terutama ketika kecemasan. Ia juga bertujuan memastikan kemahiran dan ketangkasan anggota-anggota 10 Briged Para sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

2 ulasan:

Someone in Para Brigade berkata...

Syabas dengan kewujudan Blog ini. Semoga berjaya dan sukses.

Tanpa Nama berkata...

syabas kerana kewujudan blog portal para untuk manfaat semua. siapakah penulis ini agaknya