Google

Ahad, 16 September 2007

Briged Taufan Takluki Sintok

Selepas berjaya ‘menakluki’ ladang tebu Chuping, Padang Besar menerusi 560 orang penerjun, pasukan 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka, memperluaskan lagi wilayah ‘penguasaan’ mereka sehingga ke Sintok, Kedah. Kali ini, dengan hanya kekuatan seramai 240 anggota, pasukan yang cukup dikenali sebagai ‘beret merun’ dilihat dengan mudah ‘menawan’ kawasan tersebut melalui operasi pendaratan secara taktikal dari udara (Tactical Air Landing Operation - TALO). Segalanya dilakukan secara pantas, sesuai dengan gelaran diberikan kepada pasukan ini iaitu ‘Briged Taufan’ kerana kepantasan dan ketangkasan warganya ketika bertindak. Bagaimanapun, semua situasi tersebut hanyalah sebahagian daripada sesi latihan Eksesais Gerak Pantas yang harus ditempuhi setiap anggota briged ini. Sesi latihan yang bermula sejak 31 Mac 2007 itu berlangsung sekitar kawasan Alor Setar, Chuping dan Sintok.

Sebanyak 560 orang penerjun dari pasukan ini berjaya melakukan aksi terjunan di ladang tebu Chuping yang berkeluasan lebih 10,000 hektar. Sebaik sahaja selamat melakukan pendaratan, mereka meneruskan cabaran apabila menjalani latihan taktikal di darat dan dikerahkan berjalan kaki dari ladang tebu tersebut hingga ke Kompleks Sintok sejauh 45 kilometer. Apa yang membanggakan, latihan dinamakan Eksesais Kanopi Kenyalang siri 31/07 tersebut turut menyaksikan ketangkasan tujuh anggota wanita para (PARAWIN) yang sama-sama melakukan terjunan pada ketinggian 800 hingga 1,100 kaki. Eksesais Gerak Pantas diadakan bagi menguji kesediaan setiap anggota dalam melaksanakan sesuatu operasi terutama ketika kecemasan. Ia juga bertujuan memastikan kemahiran dan kesiapsiagaan anggota-anggota 10 Briged Para sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Eks Kanopi Kenyalang Siri 31/07 juga menyaksikan 8 RRD Para telah berjaya melaksanakan penerjunan pd 3 Apr 07 dan serangan akhir pada 5 Apr 07...dan pada 8 Apr 11, kump pendahuluan telah bergerak ke P.Bahala utk Ops Pasir Sektor Utara slama 3 bln sehingga 14 Jul 07....