Google

Ahad, 16 September 2007

10 Briged Para - Pasukan Elit ATM

Mengenali pasukan 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka merupakan satu peluang keemasan, kerana banyak perkara yang tidak disedari, sebenarnya dimiliki oleh pasukan ini.

Memang diakui 10 Briged Para mempunyai kemahiran yang pelbagai sebagai sebuah pasukan elit Tentera Darat. Disebabkan itu juga, 10 Briged Para diakui mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu digerakkan dalam masa singkat untuk ke mana-mana kawasan operasi sejajar dengan cogankata briged ini - ‘Tindak Pantas’. Kepantasan 10 Briged Para secara langsung memberi satu kelebihan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misinya bagi memastikan keamanan negara terus dikekalkan.

Kebolehan. Secara umum, 10 Briged Para adalah pasukan payung terjun yang setanding dengan lain-lain pasukan payung terjun di luar negara. Setelah mengenali lebih dekat 10 Briged Para, sememangnya ia adalah sebuah pasukan elit yang mantap tetapi pada masa yang sama sentiasa merendah diri dan tidak gemar mendabik dada atas kebolehan yang dimiliki. Hubungan erat dan kekeluargaan di briged ini dapat dilihat melalui pergaulan termasuklah cara bersalaman. Setiap anggota pasukan akan menggenggam erat tangan sambil memegang ibu jari. Cara bersalaman anggota 10 Briged Para ini sudah menjadi budaya setiap pegawai dan anggota. Ia menunjukkan betapa eratnya hubungan antara kami. Disebabkan itu, logo genggaman penumbuk yang terdapat di 10 Briged Para melambangkan gabungan lima jari. Ia melibatkan kesatuan kepimpinan dan disiplin sama ada peringkat atasan hinggalah bawahan. Semangat setia kawan (esprit de corp) menjadi teras penghidupan kami.’’ kata Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Suhaimi Mohd Zuki. Malah, 10 Briged Para juga bolehlah diumpamakan sebagai pasukan yang mengutamakan silaturahim antara setiap anggota dan pegawai-pegawainya. Menurutnya, selain cara bersalaman dan genggaman yang ditunjukkan, satu lagi budaya atau tradisi diamalkan 10 Briged Para ialah mereka diwajibkan berlari dalam pergerakan dari satu bangunan ke satu bangunan lain. “Ia sebenarnya memperlihatkan setiap anggota dan pegawai sentiasa diletakkan dalam keadaan bersedia walaupun ketika keadaan aman. “Kami bersedia untuk digerakkan bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan sekali pun apabila diarah oleh pucuk pimpinan ATM.

“Pada tahun lepas kita berjaya digerakkan ke Timor Leste dalam masa yang diperlukan, selaras dengan ikrar kami ‘Tiada Misi Terlalu Sukar, Tiada Pengorbanan Terlalu Besar, Tugas Diutamakan”. “Saya juga berasa amat bangga kerana mempunyai pegawai dan anggota-anggota yang mempunyai semangat jitu dan telah memberikan komitmen tidak berbelah bagi,” tegas beliau. Menurut Brig Jen Suhaimi, pasukan itu juga mengamalkan budaya latihan berterusan di mana setiap anggota bermula dari peringkat bawahan hingga kepada beliau sendiri, sama ada mereka menjalankan tugas kerani, pemandu atau sebagainya, mereka perlu berlatih sepanjang masa dan berlatih terjun menggunakan payung terjun. Latihan payung terjun itu akan diadakan sepanjang masa, malah boleh dikatakan setiap bulan. “Saya sendiri pun kena terjun... Doktor, ustaz malah jurulatih juga dan semua anggota dalam 10 Briged Para. “Tidak ada yang istimewa kerana kita semua akan menggunakan payung yang sama, keluar melalui pesawat yang sama. Dengan latihan yang berterusan maka ketangkasan kita akan terus mantap,’’ katanya. “Beret Merun dan sayap di dada adalah pendorong utama bagi pegawai dan anggota-anggota briged ini. “Beret merun tidak diberi secara percuma tetapi ia perlu diperoleh,” tegas beliau.

Ketegasan Brig Jen Suhaimi dapat dilihat semasa bersama-sama menjalani latihan ‘Para Ground Training' bersama-sama anggota beliau. Beliau sendiri telah memberi teguran dan tunjuk ajar kepada anggota-anggota bagi mengelakkan kecederaan semasa penerjunan. Brig Jen Suhaimi adalah anak kelahiran Jerantut, Pahang, mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur dan merupakan bekas penuntut putera Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dari Universiti Leicester, England dan Universiti New South Wales, Australia. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa negara luar termasuk sebagai pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sahara Barat. Semasa bertugas di Sahara Barat, pergaulan Brig Jen Suhaimi dengan masyarakat setempat secara langsung membolehkan beliau belajar dan serba sedikit dapat bertutur bahasa Arab. Kebolehan beliau itu juga membolehkan Brig Jen Suhaimi menyelesaikan pertelagahan yang berlaku membabitkan puak-puak yang bersengketa. Ditanya dari segi penerjunan, beliau berkata: “Kita tidak boleh berbangga dengan jumlah penerjunan dilakukan. “Setiap anggota dan pegawai akan menganggap setiap kali penerjunan dilakukan, ia adalah yang pertama kali. “Sebab itu, setiap penerjunan perlu dilakukan secara berhati-hati dan penuh berdisiplin. Jika silap langkah, akan menerima padah. Lalai sesaat merana seumur hidup,” nasihat beliau. Antara pengalaman bertugas selain di Briged Para, beliau pernah bertugas sebagai pegawai staf di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH); Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT); Pembantu Ketenteraan kepada Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Mohd Shafie Apdal dan Datuk Zainal Abidin Zin.

Satu lagi penghormatan yang ditugaskan kepada beliau sebelum menjadi Panglima 10 Briged Para ialah sebagai Penasihat Ketenteraan kepada Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Jelas Brig Jen Suhaimi, dari aspek memperkasakan tahap profesional anggota-anggota Para, aktiviti yang diamalkan oleh 10 Briged Para ialah “Hari-Hari Belajar dan Hari-Hari Berlatih”. Setiap anggota dan pegawainya turut digalakkan supaya sentiasa membaca. “Melalui proses pembelajaran, hari ini seseorang itu menjadi pembaca, esok dia akan menjadi pemimpin,” ujar beliau.

Beliau juga berasa bangga dengan pembabitan para isteri anggota dan pegawai kerana telah memainkan peranan aktif serta memberi sokongan dan dorongan kepada aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan. Ini adalah salah satu aspek yang telah memantapkan ketumbukan ini. Berikutan budaya, tradisi serta ilmu yang diterapkan di 10 Briged Para, tidak hairanlah beberapa pemimpin berjaya dilahirkan oleh Briged ini. Antara mereka ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Ismail Jamaluddin dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Masood Zainal Abidin dan Panglima 1 Divisyen, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Effendi Mustaffa.

1 ulasan:

rahimi berkata...

salam &selamat berpuasa kpd warga para,teruskan perjuangan...dari saya X-para ADsubang...Rahimi..visit my blog >>> http://remibags.blogspot.com <<<