Google

Rabu, 4 Jun 2008

Tuah 10 Briged Para di Stadium Hang Jebat

BUAT julung kalinya, Stadium Hang Jebat, Melaka, telah digegarkan dengan 600 ahli-ahli sukan dan atlet dari kesemua formasi Tentera Darat (TD) yang ‘bertembung’ di sana pada Kejohanan Olahraga TD ke 27 pada 6 sehingga 8 Mei lalu. Kejohanan olahraga ini diadakan setiap tahun bagi mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baru untuk mewakili Tentera Darat di kejohanan olahraga peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Memandangkan olahraga telah disenaraikan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai salah satu daripada jenis-jenis sukan yang berprestasi tinggi, maka TD mengambil inisiatif bagi membuka peluang kepada anggota-anggota yang berbakat untuk ke peringkat lebih tinggi dalam sukan.

Bagi atlet-atlet TD yang menunjukkan kecemerlangan dalam sukan jenis ini, mereka berpeluang mewakili negara dan seterusnya meningkatkan imej TD di arena sukan. Ini juga secara tidak langsung dapat melahirkan lebih ramai atlet TD mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, 10 atlet TD telah dipilih mewakili negara di sukan SEA di Korat, Thailand, pada 2007 dan lebih membanggakan mereka berjaya membawa pulang satu pingat emas dan lima pingat gangsa. Kejohanan Olahraga TD kali ini telah disertai 0leh formasi Terup Pemerintahan Tentera Darat, 1 hingga 4 Divisyen, 10 Briged Para, Markas Logistik TD dan Markas Pemerintahan Latihan TD. Setiap Formasi telah menghantar atlet-atlet terbaik mereka untuk menyertai acara-acara yang dipersetujui untuk dipertandingkan.

Pada kejohanan kali ini, seramai 571 atlet lelaki telah bertanding dalam 22 acara, sementara 106 atlet wanita pula bertanding dalam 20 acara olahraga.Selain daripada kesemua acara olahraga itu, di luar stadium terdapat pula gelanggang tarik tali bagi memberi peluang setiap formasi menghantar ‘orang-orang besi’ mereka beradu kekuatan.

Majlis pembukaan kejohanan tersebut dibuat dengan penuh gemilang apabila 12 anggota penerjun bebas dari Platun Pandura 10 Briged Para membawa bendera kejohanan dan bendera-bendera formasi melalui penerjunan dari aras 6,000 kaki tepat ke sasaran.Mereka seterusnya menyerahkan bendera kejohanan kepada Kumpulan Pembawa Bendera Kejohanan untuk dikibarkan.

Pasukan Atur Cepat (PAC), 10 Briged Para yang dinaungi Brig Jen Dato' Suhaimi, dinobatkan sebagai johan keseluruhan Kejohanan Olahraga TD ke-27 ini dengan memperolehi 10 pingat emas, 10 perak dan 10 gangsa. Sementara itu, tempat kedua keseluruhan pula adalah dari formasi 2 Divisyen dan tempat ketiga adalah milik formasi 3 Divisyen. Lebih manis, johan kategori lelaki juga telah disandang oleh formasi 10 Briged Para, manakala johan bagi kategori wanita telah disandang oleh formasi 2 Divisyen.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dalam ucapan penutup, secara peribadi berpuas hati dengan penganjuran dan komitmen semua formasi dalam menjayakan kejohanan tersebut.Beliau juga memuji kesungguhan dan azam atlet yang bertanding apabila lapan rekod baru kejohanan TD dan ATM berjaya diperbaharui. Semasa berucap, beliau menekankan bahawa olahraga merupakan acara sukan yang bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan fizikal, malah mampu membina kekuatan mental serta mengawal emosi dan membina semangat berpasukan. “Bersesuaian dengan pembangunan dan pemodenan, TD harus memiliki kelebihan untuk maju dalam bidang sukan olahraga iaitu dengan mempunyai kecergasan mental dan fizikal yang tinggi, infrastruktur serta kemudahan sukan olahraga yang baik.“Sejajar dengan itu, latihan insentif di pusat-pusat kecemerlangan sukan yang sedia ada dalam TD akan juga dapat melahirkan atlet-atlet TD yang layak mewakili negara,” katanya.


Panglima 10 Briged Para bersama Orang Besi
10 Briged Para yang menjuarai Acara Tarik Tali
di Kejohanan Olahraga TD Ke 27

Sumber: Utusan Malaysia

3 ulasan:

kamar berkata...

Sertai Tarik Tali Terbuka UTM pada 12-14 Disember nanti

kamar berkata...

sila layari laman ini untuk maklumat lanjut

http://web.utm.my/ketat

Tanpa Nama berkata...

sape Abon?