Google

Khamis, 10 April 2008

10 Briged Para Anjur Pesta Pantai Sempena HUT TD Ke - 75

PADA tahun ini Tentera Darat Malaysia (TDM) meraikan sambutan Jubli Intan yang ke-75 tahun membawa tema `TD Mendokong Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara’.

Sempena meraikan ulang tahun tersebut, satu acara sambutan Hari Keluarga peringkat Tentera Darat (TD) yang berkonsepkan `Pesta Pantai’ telah diadakan baru-baru ini, di Melaka.Acara tersebut yang dianjurkan oleh 10 Briged Para telah diadakan di pesisir pantai Kem Terendak, Melaka. Apa yang istimewa ialah lebih 3,000 warga tentera hadir memeriah sambutan tersebut bersama ahli keluarga mereka.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Puan Sri Maggie Rosmalisa Abdullah, Panglima-Panglima dan Pegawai-Pegawai Kanan TD. Konsep sambutan merangkumi acara sukaneka, aktiviti riadah, permainan, pertandingan sukan dan juga acara memancing.

Secara keseluruhannya, penglibatan anggota adalah terdiri daripada warga TD bersama keluarga masing-masing termasuk kakitangan awam serta penglibatan masyarakat awam di sekitar kawasan Kem Terendak, Kem Sungai Udang dan Kem Masjid Tanah, Melaka.

Penglibatan secara terbuka kepada semua ini, selain daripada dapat menambah kemeriahan acara ia juga dapat merapatkan jalinan hubungan silaturrahim dan kekeluargaan antara warga TD dan masyarakat awam.

Secara tidak langsung, sambutan itu menggambarkan perpaduan dan kerjasama yang mantap dalam pasukan TD.

Pelbagai acara dan aktiviti yang menarik telah diaturkan bagi warga TD dan masyarakat awam berinteraksi bersama keluarga.

Aktiviti-aktiviti riadah dan permainan yang menarik dan menghiburkan turut disediakan seperti `banana ride’, futsal, bola tampar pantai, pertandingan memancing dan pelbagai acara lain.

Rata-rata peserta dan pengunjung berpuas hati dengan acara-acara yang dijalankan.Salah satu acara yang menjadi tarikan ialah cabutan bertuah dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik dan lumayan seperti motosikal dan skuter sebagai hadiah utama, barangan elektrik dan perkakas rumah. Pelbagai hadiah telah diberikan dalam acara-acara yang dipertandingkan.

Turut memeriahkan sambutan ialah Timbalan Panglima TD, Panglima Medan, Panglima Divisyen dan Panglima-Panglima Briged Infantri dan Gerup Gerak Khas serta isteri dan ahli keluarga mereka.

Keakraban yang ditonjolkan telah mengeratkan silaturrahim antara pihak pemerintahan TD dengan anggota-anggota.

Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki selaku Pengerusi Pengelola Hari Keluarga TD itu merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran ini termasuk pengurusan TD.

Sambutan pesta ini telah berjaya mengeratkan silaturrahim antara warga TD dan masyarakat awam serta rakyat setempat. Kerjasama yang ditonjolkan oleh semua pihak adalah contoh terbaik permuafakatan antara pasukan tentera dan masyarakat yang berbilang bangsa.

Tiada ulasan: