Google

Ahad, 2 Disember 2007

Tiga Tentera Payung Terjun Dalam Latihan LIMA Terbunuh

Keratan Akhbar Utusan Malaysia - LANGKAWI 2 Dis. - Tiga anggota tentera, termasuk dua wanita, yang menjalani latihan payung terjun untuk pertunjukan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2007) mati lemas, manakala 11 yang lain cedera apabila penerjunan mereka tersasar ke dalam laut berhampiran pantai Kuala Muda pagi tadi.Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohamed Ali Jamalludin berkata, anggota Pasukan 10 Briged Para dari Kem Terendak, Melaka yang terbunuh itu ialah Siti Hajar Yaakob, 24; dan Nurul Wahida Yusof, 20; serta Raymond Duncan, 25. Salah seorang daripada 11 anggota yang cedera, Suraya Ali, 23, dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi.“Anggota-anggota lain yang cedera dilaporkan berkeadaan baik. Mereka terdiri daripada enam anggota wanita dan empat anggota lelaki,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital selepas melawat mangsa. Mereka adalah sebahagian daripada 138 anggota pasukan itu yang dilaporkan sedang membuat penerjunan apabila angin kencang yang bertiup secara tiba-tiba menyebabkan mereka tersasar dari lokasi pendaratan yang ditetapkan.

Berikutan itu, ada yang terjatuh ke laut berhampiran Pantai Kuala Muda dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan ada yang tersasar di luar lapangan terbang itu hingga tersangkut di atas pokok. Berikutan kejadian itu, katanya, operasi menyelamat menggunakan beberapa buah helikopter dan pesawat digerakkan segera melibatkan empat pasukan terdiri dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Katanya, pasukan penyelamat yang tiba beberapa minit kemudian mendapati Siti Hajar meninggal dunia di tempat kejadian ketika diangkat keluar dari laut, manakala yang lain dikejarkan ke hospital.

Mayat ketiga-tiga anggota itu kini ditempatkan di bilik mayat Hospital Langkawi dan akan diserahkan kepada tentera selepas bedah siasat. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zulkiflee Abdul Latiff berkata, kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan antara 138 anggota Pasukan 10 Briged Para yang menjalani latihan sempena majlis perasmian LIMA 2007 pada 03 Dis 2007. Beliau berkata, semasa operasi penerjunan, keadaan angin yang tidak menentu menyebabkan ada di antara anggota penerjun tersasar dari lokasi pendaratan. - Bernama

3 ulasan:

Faizal Real Estate Negotiator berkata...

cmen leh lemas?? xkan tentera x reti berenang?

Tanpa Nama berkata...

keselamatan di air perlu diutamakan....para para jua ajal maut x mengenal sapa kita.....ingat tu. lain kali utamakan safety boat semasa penerjunan berhampiran kawasan berair....

Unknown berkata...

Ingat senang ke nk berenang dgn boot dan payung masih di badan...mmg dalam latihan pyg trjun ada ajar cara2 melepaskn payung bila jth dlm air tp main dgn keadaan cemas dan penik ssh utk lakukan sume tindakn...yg paling tepat ajal dah sampai...ni bkn soal x pndai berenang...