Google

Sabtu, 19 Julai 2008

1,500 Anggota Tentera Darat Bakal Naik Pangkat

KUANTAN 18 Julai - Lebih 1,500 pegawai dan anggota Tentera Darat bakal menikmati kenaikan pangkat melalui eksais pemilihan yang akan diadakan untuk mereka dalam tempoh terdekat ini. Kenaikan pangkat tersebut meliputi perjawatan dalam Batalion Infantri Para, Batalion Infantri Mekanis, Batalion Infantri Istiadat dan Kompeni Bantuan Para Tentera Darat. Panglima Tentera Darat, Tan Sri Ismail Jamaluddin berkata, tarikh sebenar eksais tersebut masih belum diputuskan dan perbincangan mengenainya sedang dijalankan oleh peringkat tertinggi pasukan itu ketika ini.

"Peluang kenaikan pangkat ini ekoran keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang meluluskan 99.3 peratus daripada permohonan perjawatan Tentera Darat dua bulan lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis Perbarisan Pemakaian Beret Dan Penyerahan Bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Pasukan Malcon III Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) yang akan menyertai misi pengaman di Lubnan bermula 20 Julai ini.

Kehadiran 370 pegawai dan anggota Pasukan Malcon III UNIFIL ke Lubnan itu bertujuan mengambil alih tugas Pasukan Malcon II yang dijangka menamatkan misi pengaman di negara tersebut pada akhir bulan ini. Ismail berkata, peluang kenaikan pangkat itu ekoran penstrukturan semula Tentera Darat sebelum ini yang bertujuan menyelaraskan ketidakseimbangan antara batalion infantri dengan batalion infantri standard yang diwujudkan pada 1998. Menurutnya, ia juga bersesuaian dengan langkah Tentera Darat yang sedang memberi tumpuan terhadap aspek memperlengkapkan infrastruktur, mempertingkatkan sistem persenjataan, mengurus dan melatih sumber manusia.

"Saya berharap peningkatan jawatan ini dapat memberi kesan yang jelas terhadap pengoperasian Tentera Darat secara keseluruhannya selepas ini," tegas beliau. Ismail berharap perkembangan terbaru itu akan dapat menjadikan Tentera Darat sebuah pasukan yang mempunyai kebolehan untuk melakukan pelbagai misi dan dipercayai dari segenap aspek. Ismail menggesa setiap pegawai dan anggota pasukan tersebut tidak terpengaruh dengan politik semasa atau terlibat dalam aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara. Sebaliknya, beliau mahu mereka mengambil tahu dan mengikuti senario politik semasa sebagai pengetahuan agar sentiasa bersedia untuk bertindak sekiranya diarahkan.


Sumber: Utusan Malaysia
Technorati Profile