Google

Selasa, 13 November 2007

Panglima, Pegawai dan LLP 10 Briged Para Terima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka

AYER KEROH, MELAKA. Bertempat di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, suatu Majlis Penuh Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka telah diadakan pada 29 Okt 2007, bersempena dengan Sambutan Hari Jadi ke-69, Tuan Yang Terutama, Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob.

Bersempena dangan Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama, Yang DiPertua Negeri Melaka ke-69, seramai 656 orang telah telah dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka dan tidak ketinggalan juga kepada 2 Pegawai Kanan TD, 5 Pegawai TD dan seorang anggota LLP TD. Mendahului senarai penerima Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa gelaran Datuk ialah Brig. Jen Datuk Suhaimi bin Hj Mohd Zuki (Panglima 10 Bgd Para)
dan Brig. Jen. Datuk (Dr) Ya’akob bin Koming, manakala 5 Pegawai TD yang menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) ialah Lt Kol Lim Kiat Choy, Mej Abdul Basir bin Hj Amit,
Mej Azman bin Yassin, Mej Khairuddin bin Zakaria dan Kapt (KM) Rosila bin Mohamed Haroman manakala seorang anggota LLP TD yang turut menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) pada hari tersebut ialah PW II Sahat bin Ab Rashid.


Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) mula dikurniakan pada tahun 1978 kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan dan sumbangan bakti yang amat terpuji kepada Negeri Melaka. Darjah kebesaran ini mengandungi selempang dan lencana darjah. Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) mula dikurniakan pada tahun 1984 kepada orang perseorangan yang disanjung tinggi, mempunyai sifat dan sikap taat setia serta mempunyai tata kelakuan yang terpuji manakala Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) mula dikurniakan pada tahun 1978 kepada orang perseorangan yang telah memberi sumbangan bakti yang berkualiti serta berkhidmat dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab kepada Negeri Melaka. Tahniah....

Pemeriksaan Keselamatan dan Lesen Memandu Kenderaan

KEM TERENDAK. Pemeriksaan Keselamatan Kenderaan dan Lesen Memandu telah dilaksanakan di Padang Kawad Markas 10 Bgd Para oleh 10 Platun Kor Polis Tentera DiRaja Para (10 Pl KPTD Para) pada 24 Sept 07 yang lalu. Pemeriksaan-pemeriksaan seperti ini sering dilaksanakan oleh anggota-anggota 10 Platun KPTD Para dari semasa ke semasa.

Pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan kenderaan yang dipandu oleh setiap anggota berada di dalam keadaan baik, selamat dan dilindungi dengan insuran. Selain dari itu, pemeriksaan seperti ini juga dapat mengenalpasti dan mencegah setiap anggota yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal tanpa mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah. Sepanjang pemeriksaan ini dijalankan, tiada sebarang laporan kesalahan di laporkan.

Pertunjukan Kuasa Tembakan - Hari Pengajian Pegawai dan PTT Kanan

ASAHAN. Bersempena dengan penutup Hari Pengajian Pegawai dan PTT Kanan Siri 1/2007 pada 17 September 2007 yang lalu, suatu demonstrasi kuasa tembakan senjata bantuan Para telah diadakan di Lapang Sasar OP 3 Kem Asahan, Melaka.

Tujuan demontrasi kuasa tembakan ini diadakan antara lain untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada Pegawai-Pegawai Muda serta PTT Kanan 10 Briged Para mengenai perlaksanaan tembakan senjata bantuan Para sekaligus memberi peluang mengendalikan sendiri aset persenjataan Tentera Darat yang dimiliki oleh 10 Briged Para.

Pasukan Kompeni Bantuan Para dan Rejimen Pertama Artileri DiRaja Para (1 RAD Para) telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan persenjataan serta kawasan tapak tembak. Demotrasi kuasa tembakan pada kali ini melibatkan senjata bantuan tempur dari jenis RTB 106 mm, Meriam 105 mm, 12.7 mm MGB dan 12.7 mm MGB berkenderaan.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat 10 Bgd Para

KEM TERENDAK. Kempen Kesedaran Berterusan Keselamatan Jalan Raya Peringkat 10 Briged Para telah diadakan di Padang Kawad Markas 10 Briged Para pada 8 dan 9 Okt 2007 yang lalu. Kempen Keselamatan Jalan Raya yang berlangsung selama 2 hari ini turut melibatkan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti PDRM (IPD Melaka Tengah), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka serta Institut Memandu Detik Erat untuk mempamerkan serta memberi penerangan tentang aspek-aspek keselamatan di jalan raya. Ceramah Keselamatan Jalan Raya telah disampaikan oleh Pegawai Turus Trafik IPK Negeri Melaka.

Turut hadir pada hari tersebut ialah Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Suhaimi bin Hj Mohd Zuki, Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Kol Ismet Nayan bin Ismail, Ketua Staf Am MK 10 Bgd Para, Lt Kol Lim Kiat Choy. Tetamu jemputan yang hadir ialah YB Dato’ Hj Yunus bin Husin (Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Raya Negeri merangkap Pengerusi Keselamatan Jalan Raya Negeri Melaka), En. Norazli bin Sulaiman (Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya), ASP Roslan bin Abdullah (Pegawai Turus Trafik IPK Negeri Melaka) dan Tuan Ismail bin Mohd Zawawi (Pengarah JPJ Negeri Melaka). Turut hadir pada kempen tersebut ialah Pegawai Memerintah/Pemerintah Pasukan serta anggota LLP pasukan di bawah naungan 10 Bgd Para juga tidak ketinggalan, pelajar-pelajar dari Maktab Rendah Sain Mara (MRSM) Kem Terendak, Sekolah Kebangsaan Kem Terendak II serta kanak-kanak dari Tabika KEMAS Kem Terendak.

Tujuan Kempen Keselamatan Jalan Raya ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran terhadap pemandu-pemandu kenderaan dan penunggang-penunggang motosikal tentang keselamatan semasa memandu di jalan raya dan peraturan-peraturan keselamatan yang harus dan perlu dititik-beratkan sepanjang pemanduan.

Lain-lain acara-acara yang telah dilaksanakan di dalam kempen selama dua hari ini adalah ceramah keselamatan jalan raya dari agensi-agensi terbabit, pameran statik serta pengedaran risalah-risalah pemanduan jalan raya, panduan ciri-ciri keselamatan penunggang motosikal serta keperluan pemakaian jaket pantulan cahaya.

Isnin, 12 November 2007

Kempen Derma Darah Bersempena Sambutan HUT 10 Bgd Para

KEM TERENDAK. Kempen Derma Darah bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 10 Briged Para yang ke-13 telah diadakan di Dewan Makan 8 Rejimen Renjer DiRaja Para (8 RRD Para) pada 25 Okt 2007 yang lalu. Bersesuaian dengan cogankatanya “DERMA DARAH, MENYELAMATKAN NYAWA”, kempen derma darah pada kali ini telah berjaya menarik minat seramai 687 orang penderma dan sebanyak 687 pain darah berjaya dikumpulkan. Bagi menjayakan kempen ini, seramai 8 orang doktor dan 37 orang Pembantu Perubatan dari Pusat Darah Negara, Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Besar Melaka (HBM) telah membantu untuk menjayakan kempen ini. Kempen derma darah seperti ini BUKANLAH julung-julung kali diadakan dan ianya bertujuan untuk menambah simpanan darah di HKL dan HBM yang semakin kritikal. Kempen Derma Darah sempena Sambutan HUT 10 Bgd ke-13 telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Kol Ismet Nayan bin Ismail. Turut hadir ialah Ketua Staf Am Mk 10 Bgd Para, Lt Kol Lim Kiat Choy, Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah, Para Pegawai dan anggota LLP pasukan bawah naungan 10 Bgd Para. Semoga sumbangan murni ini akan diteruskan dilaksanakan di masa-masa akan datang.

Majlis Berbuka Puasa Dan Sambutan HUT 10 Briged Para

KEM TERENDAK. Majlis Berbuka Puasa dan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 10 Briged Para Yang Ke-13 telah diadakan di Padang Kawad 8 Rejimen Renjer DiRaja Para (8 RRD Para) pada 10 Oktober 2007 yang lalu. Majlis Berbuka Puasa dan Sambutan Hari Ulang Tahun 10 Briged Para pada kali ini diserikan lagi dengan kehadiran mantan Panglima 10 Bgd Para yang ke-7 iaitu Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Masood bin Zainal Abidin, mantan-mantan panglima 10 Bgd Para yang lain iaitu Jen (B) Tan Sri Md Hashim bin Hussin dan Mej Jen (B) Dato’ Amir bin Baharudin. Turut hadir ialah Mej Jen Dato’ Ahmad Hasbullah bin Mohd Nawawi (Panglima 3 Divisyen), Brig Jen Suhaimi bin Hj Mohd Zuki (Panglima 10 Bgd Para), Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Kol Ismet Nayan bin Ismail, Ketua Staf Am 10 Bgd Para, Lt Kol Lim Kiat Choy, Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah, para pegawai serta anggota LLP pasukan di bawah naungan 10 Bgd Para.

Ketibaan TPTD, telah disambut oleh mantan-mantan Panglima 10 Bgd Para, Panglima 3 Div, Panglima 10 Bgd Para, Timbalan Panglima 10 Bgd Para, Ketua Staf Am 10 Bgd Para serta Pegawai-Pegawai Memerintah/Pemerintah pasukan. Sejurus kemudian, TPTD di bawa ke tengah padang kawad 8 RRD Para untuk sama-sama mengadakan bacaan yassin serta menunaikan Solat Maghrib berjemaah. Acara diteruskan dengan Solat Isyak Berjemaah, Solat Sunat Tarawikh dan Tahlil, ucapan dari TPTD dan upacara memotong pulut kuning sebagai tanda simbolik perajurit para. Selain dari itu, acara-acara lain yang turut dilaksanakan secara berperingkat adalah Khutbah Khas Solat Jumaat, Majlis Tahlil, Derma Darah, Majlis Makan Malam Rejimental dan Reunion Jump.

YBhg TPTD dalam ucapan dasarnya menegaskan agar setiap anggota Para mestilah sentiasa di dalam keadan siap siaga sebilang masa serta menjaga nama baik formasi 10 Bgd Para. Beliau juga mengingatkan agar setiap anggota menjaga keselamatan diri dan keluarga. YBhg TPTD juga menasihatkan agar Beret Merun yang dipakai hendaklah dijaga dengan penuh rasa bangga. Beliau juga berasa amat kagum serta bangga dengan semangat juang dan tahap kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh warga 10 Bgd Para, bersesuaian dengan cogan katanya, TIADA MISI TERLALU SUKAR, TIADA PENGORBANAN TERLALU BESAR, TUGAS DIUTAMAKAN.

Majlis Khatam Al-Quran BAKAT 10 Briged Para

KEM TERENDAK. Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, suatu Majlis Khatam Al-Quran BAKAT Peringkat 10 Bgd Para telah diadakan di rumah BAKAT 10 Bgd Para pada 4 Oktober 2007 yang lalu. Majlis-majlis agama seperti ini sering diadakan oleh BAKAT 10 Bgd Para setiap kali menjelang bulan Ramadhan. Turut hadir pada majlis khatam Al-Quran pada kali ini ialah Pengerusi BAKAT 10 Bgd Para, Puan Rohaya binti Baharuddin serta ahli-ahli dan ibu-ibu BAKAT 10 Bgd Para. Selain Majlis khatam Al-Quran, pelbagai acara turut dilaksanakan antaranya Majlis Tazkirah, Penyampaian Hadiah dan Cenderahati.